SEPANG – Kira-kira 12,000 penduduk di Kampung Sungai Pelek dan Kampung Sepang di sini terdedah dengan pelbagai jenis penyakit dan ancaman kerosakan alam sekitar ekoran sebuah kilang memproses sisa plastik beroperasi di kawasan tersebut sejak setahun lalu.
Difahamkan, kilang tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat dari China yang memproses sisa plastik dari luar negara dan ia mengeluarkan bau seperti plastik yang dibakar.
Pencemaran udara itu tersebar dalam lingkungan tujuh kilometer dan menjejaskan penduduk di Kampung Baru Sepang, Kampung Sungai Keroh, Kampung Tanjung Mas, Kampung Jelutong Indah dan Kampung Baru Sungai Pelek.
Pengerusi Gabungan Persatuan Cina dan Pertubuhan Rumah Berhala Kawasan Sungai Pelek dan Sepang, Joshua Tee berkata, operasi kilang tersebut telah diberhentikan pada bulan Mac lalu namun, ia kembali beroperasi sejak kira-kira dua minggu lalu selepas dipercayai memperoleh permit sementara selama enam bulan.
Jelasnya, kilang tersebut beroperasi kira-kira pukul 12 tengah malam sehingga pagi dan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan sewaktu proses sisa tersebut dijalankan.
“Penduduk setempat terpaksa menahan bau tersebut setiap hari yang pastinya ia berisiko membebaskan gas yang membahayakan mereka. Selain itu, proses sisa plastik itu juga boleh mencemarkan Sungai Sepang Besar yang terletak di belakang kilang tersebut.
“Kami tidak mahu sungai itu menerima nasib yang sama seperti kejadian di Sungai Kim Kim baru-baru ini. Sudah pastinya banyak perbelanjaan terpaksa dikeluarkan untuk membersihkan sungai itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman bersama 50 penduduk dari Sungai Pelek dan Sepang di hadapan kilang tersebut di sini hari ini.
Menurut Joshua, berdasarkan siasatan penduduk kampung, kilang tersebut masih belum memperoleh laporan kajian impak alam sekitar (EIA) namun, ia telah dibenarkan untuk terus beroperasi.
Jelasnya, melalui maklumat yang diperoleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan sama ada permit kilang terbabit akan diteruskan atau sebaliknya Selasa ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Henry Tong, 36, berkata, selain daripada pencemaran udara, dia juga menerima maklumat bahawa terdapat penduduk setempat mengalami gejala gatal badan dan sering demam sejak akhir-akhir ini.
Jelasnya, dia pasti penyakit itu diperoleh akibat daripada pencemaran udara yang berlaku di kawasan tersebut ekoran peningkatan aduan penyakit oleh penduduk setempat.
“Kami berharap MPSepang mengkaji semula permit sementara yang diberikan kepada kilang ini ekoran ia melibatkan kesihatan penduduk dan pencemaran alam sekitar.
“Kilang seperti ini tidak diperlukan di sini lebih-lebih lagi acara besar akan dianjurkan di daerah ini sempena Tahun Melawat Sepang 2020. Jadi, saya mohon agar pihak berkuasa tempatan mengambil serius mengenai perkara ini,” katanya yang uga bekas ahli majlis MPSepang.
Dalam pada itu, seorang petani buah naga, Sean Ng, 33, berkata, kebun buah naga milik keluarganya tidak dapat mengeluarkan hasil yang baik sejak setahun lalu ekoran bau sisa plastik dari kilang tersebut.
Jelasnya, keluarganya telah menjalankan perniagaan pertanian sejak 13 tahun lalu dan hasil sejak setahun lalu tidak memberangsangkan seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Kebun ini berupaya mengeluarkan hasil sehingga dua tan dalam sebulan namun sejak kilang ini beroperasi, buah naga hanya mampu dihasilkan sebanyak 200 kilogram dalam tempoh sama.
“Kebun saya terletak bersebelahan dengan kilang ini. Saya dapat lihat ada sisa-sisa plastik yang dibakar pada pohon dan buah naga. Penghasilan buah ini sangat sensitif dan pencemaran ini jelas mengakibatkan penghasilan buah terbantut,” katanya.
Menurut Sean, selain kurang mengeluarkan hasil, buah naga yang dihasilkan juga berpenyakit dan tidak dapat dijual kepada peraih sehingga menyebabkan kerugian. – K! ONLINE











