Memasak mungkin dianggap satu perkara yang remeh dan rumit bagi sesetengah orang terutama remaja kerana ia memerlukan kemahiran tersendiri untuk menghasilkan juadah yang menyelerakan.
Ramai juga yang mengatakan memasak ibarat ‘berperang’ dengan bahan-bahan masakan, alatan dapur dan segala kerumitannya untuk menyiapkan satu hidangan.
Namun sebenarnya, jika difikir semula memasak adalah sesuatu yang fleksibel dan boleh disesuaikan atau dipermudahkan mengikut kemahiran dan selera masing-masing.

Bagi Arianna Natasha Abdul Zamri, 16, dia menggemari masakan yang mudah disediakan menggunakan bahan-bahan yang murah serta senang didapati di pasar raya.
Tujuannya untuk menarik minat remaja lain agar belajar memasak kerana dia melihat bidang masakan sebagai satu cabang yang berpotensi untuk dimajukan sekiranya dilakukan bersungguh-sungguh.
“Salah satu sebab saya buka Instagram Arianna Kitchen adalah kerana saya nak bantu remaja lain di luar sana dan mereka yang baru nak belajar memasak. Saya nak bantu mereka sehingga mereka memiliki kemahiran memasak.
“Resipi yang dikongsikan pula boleh dijadikan rujukan untuk mereka buat perniagaan makanan dan sebagainya. Ini kerana memasak juga boleh mendatangkan keuntungan dan boleh dijadikan duit poket untuk kita yang masih remaja,” ujarnya kepada Mega Rona.
Sehingga kini, Arianna telah berkongsi pelbagai jenis resipi masakan kampung, Barat dan pastri dalam laman Instagram Arianna Kitchen yang kini mempunyai lebih 141,000 pengikut.
Kebanyakan masakan itu dipelajari daripada ibu dan neneknya. Malah ada yang dipelajarinya sendiri melalui pencarian dalam laman sesawang.
Usahanya itu membuahkan hasil apabila dia kini ditaja beberapa syarikat jenama makanan dan perkakasan elektrik untuk menggunakan barangan mereka selain menjadi ikon dalam kempen-kempen masakan yang dijalankan.
“Menjelang musim perayaan Aidilfitri ini, saya telah ditawarkan syarikat-syarikat berkenaan untuk menjalankan kempen bersama Arianna Kitchen yang saya anggap, itu adalah rezeki saya dan keluarga.
“Sebab itu bagi saya selagi muda, kalau ada peluang untuk kumpul duit, kita kumpul duit,” ujarnya lagi yang juga menjadi model sambilan pada waktu lapang.
Terjun dalam perniagaan
Langkah kanannya dalam bidang masakan kini membuka satu lembaran baharu dalam kamus hidupnya.
Bermula dengan sekadar berkongsi resipi masakan, kini Arianna menjalankan perniagaan bakeri secara atas talian yang dijenamakan sebagai Arianna Bakery dalam laman Instagramnya.
“Idea untuk menjalankan perniagaan ini timbul apabila saya menyertai satu festival makanan yang dianjurkan oleh rakan sekitar April lalu.
“Pada waktu itu ramai yang datang ke gerai saya dan mereka menyukai kek dan pastri daripada Arianna Kitchen. Mereka juga meminta saya menjualnya selepas festival berakhir,” katanya.
Oleh itu, sekitar Mei lalu Arianna Bakery mula beroperasi dengan mengambil tempahan secara atas talian dan dihantar secara terus kepada pelanggan oleh Arianna sendiri.
“Setakat ini saya hanya menjual brownies untuk tempahan sekitar Kuala Lumpur dan permintaan sangat memberangsangkan. Malah, ada juga permintaan dari Kedah, Perlis, Johor dan Melaka.
“Bagaimanapun, permintaan sekarang hanya boleh dipenuhi di sekitar Kuala Lumpur kerana saya mengusahakan perniagaan ini secara sendirian dan masa agak terhad,” jelasnya.
Ditanya mengenai cabaran yang perlu dihadapi, Arianna berkata, itu adalah asam garam dalam dunia perniagaan.
“Untuk menghasilkan brownies yang cantik dan sedap bukan mudah, apatah lagi kalau ia untuk dijual.
“Tetapi saya tidak pernah berasa penat dengan apa yang dilakukan sehingga saya mendapat hasil seperti yang diinginkan. Bagi saya, apa yang penting dalam hidup ini adalah mencapai matlamat dan berusaha,” katanya lagi.
Selain itu, dia juga bijak membahagikan masa antara pelajaran dan minat memasak agar kedua-duanya berjalan seiring.
“Saya bersekolah secara home-schooling, jadi mudah untuk saya menyusun jadual dan aktiviti kelas, memasak serta berniaga.
“Paling penting kedua ibu bapa saya tidak pernah berhenti memberi sokongan terhadap perkara yang saya lakukan,” ujarnya.
Bagi perancangan masa hadapan, Arianna bercita-cita membuka kedai bakeri sendiri serta menganjurkan kelas masakan sekiranya diberikan kesempatan suatu hari nanti.











