PERKARA berkaitan urusan negara sepatutnya dibicarakan secara rasmi dan berhemah. Setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka berkaitan urusan pentadbiran dan negara selama mana negara ini masih mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.
Permasalahan yang wujud masa kini ialah sikap individu yang menyuarakan pandangan dan kritikan itu lebih menjurus kepada keegoan dan kepentingan diri. Bangsa Melayu Islam adalah golongan majoriti dalam negara ini dan dikenali sebagai bangsa yang mendukung adab dan tatasusila masyarakat Islam bertamadun.
Pendidikan agama dan budaya bangsa menjadi teras sistem pendidikan dalam negara ini di mana ‘orang tua dihormati dan orang muda disayangi’ tanpa mengira bangsa dan agama. Pendidikan begini menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan satu budaya yang unik dan dihormati.
Persoalannya, adakah budaya ini menjadi amalan masyarakat masa kini. Hakikatnya, semakin hari sikap sopan santun dan hormat menghormati kian terhakis akibat pergeseran politik sesama sendiri sehingga institusi yang menjadi simbol ketuanan Melayu dan Islam terhakis kewibawaannya lantaran kurang memahami fungsi dan peranannya.
Suasana begini jika tidak ditangani secara berhemah boleh mengakibatkan sistem demokrasi berperlembagaan tidak dapat dilaksanakan secara berkesan. Setiap individu sepatutnya memahami status kedudukan mereka dalam negara supaya kritikan yang disampaikan itu tidak bertentangan dengan konsep Perlembagaan negara.
Jika seseorang individu itu dianggap sebagai orang yang mempunyai status tinggi atau tuan kepada rakyat dan negara, maka setiap isu yang ingin dilafazkan sepatutnya disampaikan melalui saluran rasmi bertepatan protokol dan status mereka dalam negara. Jika perkara ini diabaikan, rakyat akan melihat institusi tersebut dalam persepsi negatif.
Dalam era globalisasi dan kecanggihan teknologi komunikasi, manusia bebas menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap para pemimpin dan pemerintah melalui media elektronik seperti Instagram, Facebook dan sebagainya.
Jika pemimpin dan pemerintah membicarakan isu berkaitan dengan kepimpinan dan kenegaraan seperti mana orang awam berbicara antaranya sindir menyindir dan kutuk mengutuk, maka pergeseran antara mereka menjadi sengit.
Masyarakat Malaysia kini lebih mengutamakan kestabilan politik dan ekonomi negara daripada membicarakan persoalan status dan kedudukan individu. Parti politik dan pemimpin negara ditentukan oleh rakyat.
Jika parti politik dapat memenuhi harapan dan hasrat rakyat maka tempoh pemerintahan mereka dapat dipertahankan dalam jangka masa yang lama. Rakyat Malaysia tidak boleh disamakan dengan penduduk negara Islam lain yang sering memberontak untuk menjatuhkan kerajaan jika mereka tidak dapat menepati janji yang ditaburkan kepada rakyat.
Pilihan Raya Umum penentu kepada kewibawaan dan kelayakan seseorang individu untuk menerajui negara. Oleh itu elakkan diri daripada menggunakan media elektronik secara tidak profesional kerana sikap demikian boleh mengundang kehancuran umat dan kewibawaan agama Islam.
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











