LONDON 18 Mei – Legenda Manchester United, David Beckham melepaskan ‘kerinduan’ bermain bola sepak bersama tiga orang heronya di Stadium Loftus Road.
Bekas kapten England itu, bersama tiga anak lelakinya, Brooklyn, Romeo dan Crus dirakam bermain bola sepak di Stadium Queen Park Rangers dengan memakai kit terbaharu Manchester United.
Bagaimanapun, seorang daripada anaknya iaitu Romeo mencuri tumpuan apabila dilihat memakai seluar pendek yang mempunyai logo Arsenal sekali gus tanpa berselindung, anaknya berusia 16 tahun itu meminati kelab The Gunners.
Setakat ini, ketiga-tiga anak lelaki Beckham belum terlihat bakal terlibat secara profesional dalam bola sepak dan mengikuti jejak langkah bapa mereka.
Begitupun, Romeo yang merupakan peminat Arsenal, dikesan mempunyai bakat sebagai pemain tenis, malah telah menarik perhatian bintang tenis Jelajah ATP yang lain termasuk Grigor Dimitrov.
Pada 2017, bintang Bulgaria itu memberitahu bahawa Romeo merupakan remaja berbakat dalam sukan tenis dan mempunyai potensi besar.
”Saya fikir dia sudah lama tidak bermain tenis tetapi gayanya itu menunjukkan dia mempunyai banyak potensi,” katanya.
Dalam pada itu jersi yang dipakai Beckham dan anak-anaknya itu merupakan edisi khas Eropah yang dipakai United di antara tahun 1997 dan 2000.
Jersi itu akan digunakan skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer musim depan bagi mengharungi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019-2020.- AGENSI











