LIVERPOOL 8 Mei – Tindakan bijak dan kepantasan Trent Alexander-Arnold membuat keputusan, telah membawa Liverpool melakar magis mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan kebangkitan Reds di Anfield.
Selepas dikecewakan dalam timbal balik pertama setelah tumpas 0-3 kepada Barcelona di Camp Nou, minggu lalu, anak-anak buah Jurgen Klopp menggalas tugas berat dalam separuh akhir kedua yang berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Namun, Liverpool membuktikan kesungguhan mereka untuk melakar kebangkitan apabila jaringan awal Divock Origi membuka laluan kepada persembahan memukau, selepas pemain gantian, Georginio Wijnaldum yang dimasukkan dalam babak kedua menggegar pintu gol Barcelona sebanyak dua kali dalam tempoh dua minit yang sekali gus menjadikan kedudukan agregat terikat 3-3.
Bagaimanapun, detik paling mengagumkan dalam perlawanan itu hadir 11 minit sebelum waktu sebenar permainan tamat, apabila Reds berjaya mendapatkan sepakan sudut. Pada ketika Barcelona mempersiapkan diri untuk bertahan, Alexander-Arnold membuat keputusan sendiri apabila dengan pantas dia mengambil sepakan itu.
Bek kanan England itu pada awalnya sudah berjalan masuk ke padang bagi memberi laluan kepada Xherdan Shaqiri menyempurnakan tugasnya. Namun, Alexander-Arnold membuat keputusan pantas serta pintar apabila berpatah balik dan menyempurnakan hantaran kepada Origi yang tidak dikawal dalam kawasan sebelum penyerang itu menyumbat gol keempat Liverpool.
Selepas perlawanan tamat, pemain berusia 20 tahun itu ditanya media sama ada dia sememangnya mempersiapkan dirinya dengan latihan bagi menyempurnakan tugas sedemikian, tetapi, Alexander-Arnold berkata, ia dilakukan berdasarkan gerak hatinya selepas menyedari Origi bersendirian tanpa kawalan dalam kotak penalti Barca.
“Ia hanya gerak hati, saya lihat peluang terbentang di depan mata, Div (Origi) berjaya menyempurnakan hantaran itu. Memang bola datang secara tiba-tiba, tetapi dia seorang pemain handalan,” katanya.
Tindak-tanduk anak muda itu ternyata mendapat pujian ramai khususnya dalam kalangan pemain profesional yang masih bermain mahupun yang telah bersara.
Cesc Fabregas antaranya yang memuji menerusi Twitter dengan berkata: “Alexander-Arnold, hanya 20 tahun. Orang akan maklum kepada saya ia satu cara bertahan yang teruk, saya pula memberitahu anda keputusan itu amat bijak.”
Legenda Liverpool, Robbie Fowler pula menyifatkan detik itu sebagai sesuatu yang ‘pintar’, sebelum turut memuji Origi dengan jaringan penyudahnya. – AGENSI











