JOHOR BAHRU 26 Mei – Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) hari ini mendakwa Datuk Bandar menyalahguna kuasa berhubung isu pemberian lesen dan tapak bazar Ramadan di Taman Nusantara dekat Iskandar Puteri.
Sehubungan itu, mereka menuntut Datuk Bandar membuat penjelasan berhubung perkara tersebut sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri atau berdepan tindakan susulan yang akan dimaklumkan kelak.
Wakil yang juga Ahli Majlis Zon 9 Gelang Patah, Mohd. Azam Mektar berkata, Datuk Bandar, Datuk Adib Azhari Daud dipercayai mengubah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan MBIP dan melakukan sabotaj terhadap peniaga Melayu.
“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Bil 4/2019 pada 18 April 2019 bersetuju memberi kelulusan 100 petak bazar Ramadan di kawasan tempat letak kereta di Jalan Nusaria 4/7 Taman Nusantara dekat Gelang Patah dan perkara itu kemudiannya disahkan pada 28 April lalu.
“Kawasan ini diberi sebagai ganti kepada cadangan tapak bazar Ramadan di Jalan J/1 Taman Nusantara yang diminta peniaga pada awalnya, namun mendapat bantahan peniaga kedai berhampiran yang dikatakan mengganggu waktu perniagaan sedia ada,” katanya selepas Mesyuarat Penuh MBIP di sini hari ini.
Mohd. Azam berkata, bagaimanapun, Jabatan Pelesenan MBIP bertindak menolak permohonan awal 47 peniaga di bawah persatuan penganjur untuk mendapatkan lesen bagi membuka bazar Ramadan di kawasan yang dipersetujui kerana pihak Datuk Bandar ingin mengubah hak penganjuran bazar Ramadan berkenaan.
Susulan itu, tambahnya, Ahli Majlis zon berkenaan mengambil inisiatif melakukan perbincangan dengan pihak Datuk Bandar yang kemudiannya memberikan 30 lesen berniaga di Jalan Nusaria 4/7 Taman Nusantara walaupun keputusan awal mesyuarat akan bersetuju memberikan 100 lesen berniaga.
Selain itu, menurutnya, Ahli Majlis MBIP turut mendapat aduan daripada orang ramai berhubung terdapat bazar Ramadan yang dibuka tanpa permit dan lesen di Jalan J/1 Taman Nusantara iaitu di kawasan cadangan awal yang ditolak kerana terdapat bantahan peniaga kedai di situ.
“Tindakan Datuk Bandar yang berdolak dalik dan mengubah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dianggap sebagai salah guna kuasa dan sabotaj terhadap Ahli Majlis serta kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











