PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menjadi tuan rumah bagi dua aksi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada bulan depan di Kuala Lumpur.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam selepas menerima surat rasmi daripada AFC kelmarin yang menyatakan bahawa kedua-dua perlawanan timbal balik itu akan dilangsungkan di Malaysia.
Katanya, AFC bukan sahaja bersetuju untuk membenarkan venue dua perlawanan tersebut di Kuala Lumpur, malah badan induk bola sepak Asia itu turut meluluskan permohonan FAM untuk menganjakkan aksi playoff pertama daripada 6 Jun kepada 7 Jun depan.
“Kami sudah terima surat persetujuan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Timor Leste (FFTL) pada 30 Jun lepas, tetapi kelulusan daripada AFC pula baharu sahaja diterima pada Jumaat (kelmarin). Justeru, saya boleh sahkan kedua-dua perlawanan itu akan diadakan di Kuala Lumpur.
“Venue yang kami cadangkan kepada AFC adalah Stadium Nasional Bukit Jalil dan Malaysia akan menjadi tuan rumah pada aksi pertama yang akan berlangsung 7 Jun manakala Timor Leste pula tuan rumah pada saingan kedua (11 Jun),” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Stuart ditemui ketika menghadiri Hari Bola Sepak Akar Umbi AFC 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya semalam.
Dalam perkembangan sama, Stuart turut mengesahkan aksi perlawanan antarabangsa buat Harimau Malaya sudah diatur dengan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu dijadualkan bertemu Nepal pada 2 jun depan.
“Perlawanan pemanas badan buat skuad Harimau Malaysia sudah disahkan iaitu menentang Nepal pada 2 Jun. Cuma, venue untuk aksi tersebut masih belum diputuskan,” katanya.










