KOTA KINABALU 26 Mei – Polis menahan 54 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah dalam operasi di sekitar bandar raya ini termasuk Likas, Inanam dan Tanjung Aru dalam tempoh seminggu bermula pada 18 Mei hingga Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner, Habibi Majinji berkata, kesemua suspek ditahan berumur 14 hingga 64 tahun itu turut melibatkan 16 warga asing.
Ujarnya, kesemua mereka telah ditahan di Kampung Cenderamata Dua di Likas; Lorong Keleto di Inanam; dan Kampung Tanjung Aru.
“Hasil ujian air kencing mendapati sebanyak 44 individu positif manakala sembilan ditahan kerana memiliki dadah dan seorang terlibat dalam kesalahan membekal dan pengedaran dadah.
“Sepanjang operasi itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 9.25 gram dianggarkan bernilai RM1,387.50,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Habibi, pihaknya akan terus memperhebatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di bandar raya ini dan kawasan sekitarnya bagi memelihara kesejahteraan masyarakat setempat.-BERNAMA











