50 peratus pasar raya di Terengganu diperiksa - Utusan Malaysia

50 peratus pasar raya di Terengganu diperiksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 11 Mei – Kira-kira 50 peratus pasar raya di negeri ini telah diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran di premis dalam keadaan baik.

Timbalan Pengarah JBPM negeri, Sharikan Bustaman berkata, kerja-kerja pemeriksaan sempena Hari Raya Aidilfitri itu dijangka dapat diselesaikan pada minggu depan.

“Lazimnya pada bulan Ramadan premis pasar raya menjadi tumpuan orang ramai, tetapi di Terengganu ini jumlahnya tidak banyak dan Alhamdulillah kira-kira 50 peratus telah diperiksa setakat seminggu umat Islam berpuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kebanyakan pasar raya yang diperiksa patuh kepada jadual penyelenggaraan yang ditetapkan untuk membolehkan mereka memperbaharui sijil kelayakan menduduki bangunan dan boleh dikatakan kesemuanya layak untuk mendapatkan sijil perakuan Bomba,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas program Jom Jengoh Sahur anjuran Pertubuhan Karyawan Kreatif Terengganu Darul Iman (Karyawan) dengan kerjasama Hotel Permai dan Hotel Primula di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.

Dalam program tradisi tahunan itu, sebanyak 200 pek makanan diagihkan kepada anggota JBPM Terengganu di samping pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, kakitangan Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan pengawal keselamatan.

Yang hadir sama, Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman dan Pengurus Besar Hotel Primula, Suhaibah Harun.

Sharikan berkata, dalam usaha mencapai sasaran sifar kebakaran pada musim perayaan kali ini pelbagai program kesedaran awam turut digerakkan termasuk di pasar malam dan bazar Ramadan bagi mendidik masyarakat tentang bahaya kebakaran.

Katanya, bomba juga memperkasakan kempen keselamatan di air di samping akan meningkatkan pengawasan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini di kawasan tumpuan pelancong terutama di pantai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini