43 PATI warga Indonesia kempunan balik negara asal - Utusan Malaysia

43 PATI warga Indonesia kempunan balik negara asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUTAN MELINTANG – Seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai mahu pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak diwartakan, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Perak dalam Op Landai di kawasan semak paya bakau Parit 14, Baroh di sini semalam.

Dalam serbuan yang dijalankan PPM Wilayah Satu Kampung Acheh, Sitiawan membabitkan Unit Risikan Marin, bot ronda PSC 16 itu turut mendapat kerjasama daripada anggota Balai Polis Hutan Melintang dan Balai Polis Rungkup hasil maklumat risikan dan orang awam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Satu Kampung Achech, Deputi Superintendan Jafri Ahmad berkata, pihaknya berjaya menahan 43 warga asing termasuk 12 wanita dan dua kanak-kanak yang merupakan warga Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan mendapati 29 daripada mereka memiliki dokumen pengenalan diri tamat tempoh manakala 14 lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka dipercayai akan keluar untuk balik ke negara asal melalui jalan yang tidak diwartakan untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Jafri, kesemua mereka dipercayai diuruskan oleh sindiket penyeludupan PATI secara haram.

“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Hutan Melintang untuk tindakan lanjut.

“Pasport tamat tempoh turut dirampas,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 5(a) dan Sekyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Jafri, PPM mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang di kawasan persekitaran mereka terutamanya kes yang melibatkan aktiviti PATI keluar masuk ke dalam negara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini