JOHOR BAHRU – Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia kempunan hendak memasuki negara ini melalui jalan tidak diwartakan apabila diberkas Maritim Malaysia (APMM) di kawasan pantai berhampiran Hotel Tiara Desaru, Kota Tinggi malam semalam.
Dalam operasi yang dijalankan sepasukan anggota Zon Maritim Tanjung Sedili pada pukul 8 malam itu, PATI terbabit terdiri daripada 26 lelaki dewasa dan enam wanita berusia antara 18 hingga 46 tahun.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, ketika ditahan kesemua PATI sedang diturunkan daripada bot pancung di kawasan pantai terbabit.
“Sejurus menyedari kehadiran pihak kita, tekong laut mengemudi bot memecut melarikan diri memasuki sempadan perairan negara jiran manakala 33 PATI tersebut berenang di kawasan air yang agak dalam.
“Pihak kita bertindak menyelamatkan mereka selepas tekong laut meninggalkan pendatang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zulfadli berkata, dalam operasi itu juga pihaknya berjaya menggagalkan cubaan tekong darat meloloskan diri di kawasan belukar berhampiran.
Jelas beliau, pihaknya bimbang keadaan keselamatan PATI jika migran wanita dan kanak-kanak masih belum diturunkan berada di dalam bot berkenaan.
Kesemua PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pemerdagangan Manusia dan Pengeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – K! ONLINE











