KUALA LUMPUR 1 Mei – Deklarasi Mei 1 yang ingin menuntut 22 hak untuk para pekerja telah dirangka bersempena sambutan Hari Pekerja hari ini.
Koordinator Jawatankuasa Mei 1, Nalani Murugiah berkata, deklarasi itu adalah lambang kebangkitan kaum pekerja terhadap penindasan yang dikenakan kepada mereka.
“Antara tuntutan yang terdapat dalam Deklarasi Mei 1 adalah laksanakan gaji kehidupan wajar, hak kesatuan kerja, perumahan selesa, hak mahasiswa dengan menaikkan gaji graduan dan pendikan percuma untuk semua dan mansuhkan segala akta perundangan yang menindas rakyat,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Hari Pekerja, di Medan Pasar di sini.
Hampir 500 orang yang menyertai perhimpunan tersebut terdiri daripada anggota-anggota gabungan badan bukan kerajaan.
Nalani menambah, deklarasi tersebut telah mendapat sokongan daripada 100 organisasi bukan kerajaan antaranya Parti Sosialis Malaysia (PSM), Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Gabungan Pembebasan Akademik.
“Diharapkan kuasa pekerja pada hari ini mampu dan boleh membawa kepada perubahan untuk semua,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











