KUALA LUMPUR 9 Mei – Mula beroperasi sejak 1999, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mercy Malaysia telah menjalankan misi kemanusiaan di 32 negara yang mengalami pergolakan akibat bencana, peperangan dan konflik.

Bersempena sambutan penubuhannya yang ke-20, Mercy Malaysia berazam terus menjalankan misi mereka di samping mendidik orang ramai dalam aktiviti kesukarelawan terutamanya golongan muda.
Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Ir. Amran Mahzan berkata, satu Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa bakal diadakan bermula 5 hingga 7 Ogos depan yang akan melibatkan panel jemputan dari dalam serta luar negara.
“Persidangan ini mendapat kerjasama baik daripada NGO luar mahupun dalam negara dan Kementerian Kesihatan sendiri. Aktiviti bersempena pertubuhan Mercy Malaysia ini akan diteruskan dengan Makan Malam Pengumpulan Dana yang bakal berlangsung pada 28 September depan.
“Pelbagai rintangan telah kami tempuhi di mana pada permulaan operasi Mercy Malaysia hanya melibatkan tenaga tiga orang staf sahaja. Tiba masanya untuk pertubuhan ini turut mendidik orang ramai mengenai semangat kesukarelawan, membantu mereka yang memerlukan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar khas Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Mercy Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Mercy Malaysia, Datin Raja Riza Shazmin Raja Badrul Shah.
Tambah Amran, Mercy Malaysia turut memperuntukkan RM500,000 bagi menyediakan bantuan makanan sempena Ramadan di tiga buah negara iaitu Yaman, Palestin dan Malaysia.
Dalam pada itu, Raja Riza Shazmin sambil menceritakan pengalamannya bersama Mercy Malaysia memberitahu, pertubuhan itu mula membuka mata masyarakat dunia sejak penglibatan misi kemanusiaan mereka di Aceh, Indonesia.
“Pada ketika itu, kami NGO pertama yang tiba dari seluruh dunia. Pengalaman sepanjang menjalankan misi bantuan ke sana tidak mampu digambarkan.
“Sejak itu, nama Mercy Malaysia mula melonjak dan kini mempunyai 2,600 sukarelawan seluruh negara. Bagaimanapun, pertubuhan ini tidak akan mampu untuk berdiri sendiri jika tiada sokongan daripada NGO negara luar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











