KOTA TINGGI 2 Mei – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 15 Nelayan asing termasuk tekong dipercayai warga Vietnam kerana mencuri sumber perikanan negara pada kedudukan kira-kira 26.5 batu nautika Timur Tanjung Balau, dekat sini pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.45 pagi ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram.
“Sebuah bot peronda Maritim Malaysia sedang menjalankan Operasi Jaksa di perairan tersebut mengesan sebuah bot yang disyaki bot penangkapan ikan asing yang mempamerkan tanda nama seperti bot nelayan tempatan.
“Menyedari kehadiran bot peronda, bot tersebut cuba melarikan diri daripada diperiksa dengan memotong pukat namun berjaya di pintas dan ditahan. Pemeriksaan yang dijalankan mendapati mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Zulfadli berkata, semasa pemeriksaan dibuat, tekong bot gagal mengemukakan apa-apa lesen bot dan terdapat sebilangan kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Menerusi penahanan tersebut, pihaknya merampas peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut, bahan bakar termasuk bot terbabit dengan anggaran rampas kira-kira RM3 juta.
“Dalam minggu ini sahaja, kita sudah menahan tiga buah bot penangkapan ikan asing di Perairan Johor Timur. Maritim Malaysia sentiasa serius dan akan meneruskan usaha membanteras pencerobohan bot nelayan Vienam ke perairan negara khususnya di Pantai Timur negeri ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan diperairan Malaysia tanpa kebenaran sah dari Pengarah Perikanan Malaysia. – UTUSAN ONLINE











