KUALA LUMPUR – Seramai 13 individu ditahan dalam operasi bersepadu untuk mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Afrika di beberapa lokasi tumpuan mereka di sekitar ibu negara.
Dalam operasi yang bermula pada pukul 11 malam Jumaat lalu hingga pukul 6 pagi semalam, beberapa lokasi telah diperiksa antaranya Jalan Changkat Bukit Bintang; Kondominium Arena Green, Bukit Jalil; Taman OUG, Brickfields; Taman Len Seng, Cheras dan Metro Prima, Kepong.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, pihaknya telah memeriksa 28 warga asing dan daripada jumlah tersebut, seramai 13 individu telah ditahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan warganegara Afrika termasuk dua wanita.
“Selain itu, tiga lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mazlan menambah, seramai 99 pegawai kanan dan anggota Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur yang terlibat dengan kerjasama lapan pegawai serta anggota Jabatan Imigresen Malaysia.
“Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan menetap di Malaysia tanpa pas atau permit sah serta akta lain yang berkaitan.
“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Lokap Cheras dan Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis memandang serius isu kebanjiran warganegara Afrika dan akan meneruskan operasi sebegini bagi membanteras masalah tersebut yang turut menyumbang kepada kejadian jenayah.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – K! ONLINE











