IPOH – Sebanyak 13 kes dilaporkan berkaitan keracunan metanol di seluruh negeri ini termasuk lima kes melibatkan kematian dalam tempoh lebih sebulan bermula 3 April tahun ini sehingga kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan berkata, sehingga kini seorang mangsa masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dan seroang lagi di Hospital Teluk Intan.
“Kita kesal kes keracunan metanol masih berlaku terutamanya apabila melibatkan kematian. Enam kes dilaporkan berlaku di daerah Kinta, dua kes masing-masing di Kuala Kangsar, Perak Tengah serta Larut, Matang dan Selama manakal satu kes di Batang Padang.
“Tahun ini lima kes kematian direkodkan melibatkan tiga warga asing dan dua penduduk tempatan, dua masih dirawat di hospital dan bakinya telah mendapatkan rawatan di hospital serta dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan terhadap sebuah premis menjual alkohol di Persiaran Medan Bercham 6, Pusat Bandar Baru Bercham di sini sebentar tadi.
Tambah Sivanesan, sebanyak 198 pemeriksaan telah dilakukan pada tahun ini serta empat notis 32B dikeluarkan dan setiap notis masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM3,000.
“Jabatan Kesihatan turut mengambil 13 sampel minuman beralkohol untuk diuji selain merampas 90 botol minuman beralkohol dianggarkan bernilai lebih RM800,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai seorang mangsa yang buta akibat keracunan metanol namun mengesahkan keracunan berkenaan boleh menyebabkan mangsa menjadi buta. – K! ONLINE











