MELAKA – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangi dilanggar sebuah kereta di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Melaka Sentral di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 10.33 pagi itu, mangsa, Husin Jaya, 73, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Melaka Sentral ke Bachang.
“Setiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan telah menukar lorong dari kiri ke kanan secara tiba-tiba menyebabkan sebuah kereta jenis Honda City di belakangnya gagal mengelak dan melanggar warga emas berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu kereta terbabit berusia 27 tahun tidak cedera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











