JOHOR BAHRU 13 April – Vokalis kumpulan Blackfire dan bekas Editor Majalah Fantasi, Azmi Bahari, 58, meninggal dunia akibat strok di kediamannya di Bandar Bahru Selayang, Selangor kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Beliau yang terlantar selepas diserang penyakit tersebut sejak lima tahun lalu meninggalkan isteri, Sabariah Jais, 55, dan tiga anak, Asraf Alif, 27, Afiq, 24, dan Adila, 23.
Azmi sebelum ini juga pernah menjadi wartawan, penulis dan tulang belakang antaranya untuk Majalah Anak-anak Sidek, Majalah Cabai dan Berita Publishing sejak awal 90-an hingga sebelum beliau jatuh sakit selain merupakan aktivis politik.
Menurut isterinya yang lebih dikenali sebagai kartunis Cabai di Majalah Gila-Gila, keluarganya reda dengan ketentuanNya dan berharap suaminya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
“Arwah Azmi sudah lama sakit. Beliau merupakan seorang yang ceria dan mudah berdamping dengan sesiapa sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Online sebentar tadi.
Jenazah Azmi dikebumikan di Tanah Perkuburan Selayang Bahru kira-kira pukul 11.30 pagi tadi dengan dihadiri ahli keluarga, kenalan dan saudara-mara.

Anak kelahiran Kangar, Perlis itu bersama-sama Blackfire yang ditubuhkam pada 1982, aktif melakukan konsert dan gigs termasuk pernah menyertai pertandingan juara-juara rock 80-an antaranya sekitar Perlis, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Blackfire yang pernah berkongsi pentas antaranya dengan kumpulan M.A.Y, D’Febians dan S.Y.J, merupakan kumpulan ekstrem metal pertama Malaysia selain pencetus kepada permulaan muzik berat dan pergerakan underground di Malaysia.
Blackfire mengeluarkan album pertama pada Jun 2006 di bawah Nebiula Productions yang menggabungkan lagu Melayu dan Inggeris sebelum melakukan konsert reunion pertama kira-kira 10 tahun lalu dan tidak lama selepas itu berpecah. – UTUSAN ONLINE











