MENIKMATI makanan ala Barat yang baik semestinya tidak murah tapi tidak bermakna anda tidak mempunyai pilihan selain restoran yang menyajikan menu pada harga eksklusif.
Jika rajin melayari prebiu makanan di Internet, anda mungkin menemui sajian pada harga berpatutan.
Di Bazaria Pantai, Jalan Pantai Permai 2, Kuala Lumpur, Restoran Eye’s Steak merupakan antara pilihan penduduk di kawasan itu untuk memuaskan selera ‘Western’.
Kunjungan Utusan Malaysia ke premis tersebut baru-baru ini adalah untuk mencuba beberapa menu seperti yang dipaparkan pada Facebook mereka (Eye’s Steak Pantai Dalam) yang boleh dikatakan agak tidak masuk akal.
Bayangkan set chicken chop dijual pada harga RM5.90, walhal di kebanyakan tempat harga itu belum tentu dapat membayar sepinggan nasi campur.

Bagi hidangan pasta, harganya adalah RM6.90 manakala steak pula pada harga RM15.90.
Antara menu lain yang menjadi kegemaran pengunjung di restoran itu adalah spageti carbonara, spageti aglio olio seafood, rib eye steak (RM17) dan lambshank (RM30).
Walaupun ‘memasarkan diri’ sebagai restoran sajian Barat bajet, Eye’s Steak tidak berkompromi pada rasa hidangan yang disajikan.
Pengasas Restoran Eye’s Steak, Mohd. Halim Mohid berkata, keenakkan rasa makanannya juga terletak pada keenakan sos lada hitamnya.
“Antara ramuan yang digunakan adalah herba yang diimport dari Itali, minyak zaitun, minyak dan buah-buahan,’’ katanya yang mempelajari masakan Barat semasa menetap di Cardif, United Kingdom.
Mohd. Halim berkata, bermula sekadar minat, kebolehan itu dimanfaatkan sepenuhnya menjadi peluang perniagaan sebaik pulang ke tanah air.
Bagaimanapun katanya, cabaran mempertaruhkan harga rendah kepada pelanggan bukan sesuatu yang mudah bahkan memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi.
“Saya cuba untuk menyediakan makanan yang boleh dicuba oleh semua lapisan masyarakat.
“Setakat ini sambutan sangat menggalakkan terutama dalam kalangan wanita yang gemarkan makanan gaya itu,’’ katanya.
Eye’s Steak
- Alamat: M05-10, 2, Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, 59200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
- Waktu operasi: 6 petang hingga 12 malam
- Kapasiti restoran: Kira-kira 70 orang
- Perkhidmatan penghantaran: GrabFood dan Food Panda











