REMBAU 10 April – Kegagalan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963, di Dewan Rakyat semalam berpunca daripada sifat ego dan enggan mempedulikan pandangan orang lain.
Video UTUSAN ONLINE
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usul untuk meminda Perlembagaan itu tidak dibincangkan secara mendalam dengan semua pihak yang berkepentingan.
“Sepatutnya, usul pindaan itu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Parlimen melibatkan semua pihak bagi mendapatkan pandangan lebih luas.
“Hakikat bahawa 19 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi rang undang-undang itu menunjukkan mereka sendiri tidak setuju dengan kandungan pindaan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Rantau dekat sini hari ini.
Menurutnya, pindaan yang dicadangkan itu tidak menepati dan memenuhi apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan kepada kedua-dua negeri itu dalam manifesto pilihan raya umum lalu.
Jelasnya, ia tidak menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) yang menjadi tuntutan kedua-dua negeri itu selama ini.
“Menteri yang berkenaan juga telah gagal memberi nasihat yang betul kepada Perdana Menteri hingga pindaan itu gagal mendapat sokongan diharapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











