Utamakan rakyat - Utusan Malaysia

Utamakan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
NAMPAKNYA spekulasi yang menjadi bualan rakyat mengenai kerusi panas Menteri Besar Johor akhirnya sudah terjawab.

Spekulasi yang menyatakan Johor bakal mendapat Menteri Besar baharu akhirnya menjadi kenyataan apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Selasa lalu mengesahkan bahawa Osman Sapian telah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Isu pertukaran Menteri Besar Johor menjadi topik utama dalam kalangan rakyat Johor sejak kebelakangan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, isu itu semakin hebat diperkatakan dan mendapat perhatian rakyat selepas insiden pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, pada awal bulan lalu.

Osman dikritik kerana ketika kejadian, beliau sempat ‘melancong’ ke Pulau Batam, Indonesia.

Bagaimanapun, beliau ada memberi penjelasan dengan menyatakan pemergiannya adalah urusan kerja yang telah dirancang sebelum ini sebagai persediaan untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor 2020.

Menurut beliau, lawatan kerja itu bertujuan meningkatkan rangkaian kerjasama antara penggerak industri pelancongan atau pelabur Johor dengan syarikat Indonesia khususnya di Pulau Batam.

Sebenarnya, peletakan jawatan Osman bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Malahan perkara ini sudah dijangka akan berlaku ekoran prestasinya yang tidak memberangsangkan sejak memegang jawatan berkenaan.

Ditambah lagi dengan kontroversi-kontroversi panas yang melanda dirinya sejak bergelar Menteri Besar. Tidak kiralah kontroversinya yang melibatkan di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

Yang pasti, kontroversi ini menjadi sebab utama timbulnya spekulasi pertukaran Menteri Besar Johor yang baharu.

Namun kini sudah tentu menjadi teka-teki siapakah yang bakal menjadi menggantikan Osman sebagai Menteri Besar.

Jika kita lihat terdahulu ada desas-desus yang mengatakan Pengerusi Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang bakal mengganti Osman.

Bagaimanapun, dakwaan ini telah disangkal oleh Mazlan sendiri beberapa bulan yang lalu. Mungkin keadaan telah berubah sekarang.

Nama-nama lain yang disebut layak menggantikan tempat Osman ialah Setiausaha Pakatan Harapan (PH) negeri, Dr. Sahruddin Jamal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian.

Dua lagi nama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Solihan Badri dan ADUN Larkin, Mohd. Izhar Ahmad turut disenaraikan sebagai calon.

Keempat-empat nama ini menjadi sebutan ramai sejak Dr. Mahathir mengesahkan peletakan jawatan Osman itu.

Bagaimanapun, keputusan siapa bakal Menteri Besar yang baharu tertakluk pada kuasa Sultan Johor dan mestilah mendapat perkenan Sultan Johor seperti mana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

Jadi sesiapa sahaja yang diperkenan Sultan Johor perlu mengalas tanggungjawab ini sebaik-baiknya.

Dalam masa yang sama, gunakanlah peluang ini untuk menyuburkan kembali kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri Johor.

Jangan biarkan rakyat di negeri ini tergores buat sekian kalinya dek kerana sikap pemimpin yang tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

DHIA HANI
Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini