KUALA LUMPUR 3 April – Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) mengumumkan pelantikan Izad Shahadi Mohd.Sallehuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu berkuat kuasa semalam.
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu, pelantikan tersebut merupakan langkah awal pembentukan pasukan pengurusan di UJSB bagi memastikan kelangsungan serta peningkatan nilai pulih aset-aset tersebut.
Menurut kenyataan itu, ini adalah penting bagi mengurangkan kos tanggungan kerajaan dalam menebus semua sukuk yang diterbitkan dalam membantu pemulihan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) .
“Pelantikan ini adalah selaras dengan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof kepada Ahli Parlimen Pendang pada 26 Mac 2019 yang mengatakan bahawa UJSB pada ketika itu masih tidak mempunyai pihak pengurusan mahupun ketua pengawai eksekutif.
“Prokhas Sdn. Bhd. (Prokhas) hanya diberi tanggungjawab sementara waktu bagi membantu memastikan pentadbiran dan operasi aset-aset tersebut berjalan dengan lancar. Pentadbiran dan operasi aset-aset akan diambil alih sepenuhnya oleh UJSB dan tidak lagi akan melibatkan Prokhas,” menurut kenyataan itu hari ini.
UJSB merupakan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki penuh kerajaan bagi membantu proses pemulihan aset-aset yang telah diambil alih Tabung Haji pada akhir tahun lalu.- UTUSAN ONLINE











