KUALA LUMPUR 29 April – Lotte Chemical Titan Holding Bhd. merekodkan keuntungan bersih lebih rendah untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2019 sebanyak RM55.83 juta berbanding RM244.19 juta pada suku sama tahun lepas.
Hasil merosot dua peratus tahun ke tahun kepada RM2.17 bilion berbanding RM2.21 bilion sebelumnya disebabkan penurunan purata harga jualan produk.
“Ini sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan penjualan produk, didorong oleh peningkatan dalam kuantiti produk berbanding dengan suku pertama 2018,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu berkata secara keseluruhannya peningkatan dalam kuantiti produk menerusi pengoperasian kilang baharu, manakala kadar purata penggunaan kilang bertambah baik iaitu empat peratus kepada 87 peratus dalam suku kajian.
“Kilang-kilang beroperasi pada tahap yang mencukupi untuk mengekalkan pengoptimuman keuntungan, dengan mengambil kira keperluan penyelenggaraan kilang umum,” katanya.
Mengenai prospek, Lotte Chemical Titan berkata ia menjangkakan hasil operasi untuk sepanjang tahun ini akan dipengaruhi terutama oleh permintaan dan penawaran yang seimbang bagi produk petrokimia, keupayaan untuk memaksimumkan pengeluaran serta kecekapan operasi dan harga barang mentah yang selari dengan harga minyak mentah. – BERNAMA











