SUNGAI PETANI 8 April – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kedah, di Merbok, di sini bercadang untuk menubuhkan Kelab Komuniti ASEAN bagi mengukuhkan lagi hubungan sesama komuniti terutamanya pelajar di rantau berkenaan.
Rektor Uitm Kampus Kedah, Prof. Madya Dr. Shaiful Annuar Khalid berkata, seramai 173 orang pelajar dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi serta Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Uitm akan menjadi ahli kelab itu kelak.
“Uitm Kampus Kedah kini sedang mengambil inisiatif untuk menubuhkan Kelab Komuniti ASEAN universiti berkenaan yang boleh mengeratkan hubungan baik antara pelajar di negara-negara ASEAN.
“Logo ASEAN akan digunakan bagi memudahkan sebarang aktiviti yang dirancang selepas kelab itu ditubuhkan secara rasmi kelak,” katanya selepas perasmian Karnival Komuniti Asean 2019 di sini hari ini.
Program tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, selain turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr. Salmee Said serta Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Uitm Kedah, Diffan Sina Jasmi.
Karnival dua hari anjuran kedua-dua fakulti berkenaan turut melibatkan para pelajar dari Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Brunei, Kemboja, Indonesia dan Laos yang diundang bagi memeriahkan pelbagai program termasuk pertunjukkan kebudayaan.
dan sukan.
Sementara itu, Marzuki berkata, usaha menubuhkan kelab tersebut amat bertepatan kerana ia boleh berfungsi sebagai badan yang mampu mempromosi kebudayaan, pelancongan dan ekonomi antara negara-negara ASEAN.
“Saya juga mahu memperkenalkan Kementerian Luar atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra kepada pelajar-pelajar universiti mengenai peranan dan fungsinya melalui karnival seperti ini.
“Sehubungan itu, sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang mahu ke luar negara perlu memaklumkan kepada Wisma Putra atau pihak kedutaan terlibat supaya jika berlaku sesuatu musibah nanti akan memudahkan siasatan untuk dilakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











