KUALA LUMPUR 1 April – UDA Holdings Berhad (UDA) melalui anak syarikatnya UDA Land North Sdn. Bhd. memaklumkan telah membantu seramai 21 keluarga yang terjejas akibat kejadian belalai air yang berlaku di kawasan Flat Fasa 1 Perumahan Kos Rendah UDA di Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UDA dalam kenyataan berkata, pihaknya telah membantu memindahkan keluarga tersebut ke Dewan Persatuan Penduduk dan Dewan Desiran Tanjung yang berdekatan.
“Pihak UDA dan kontraktor bekerjasama untuk membaik pulih semula rumah yang terjejas dengan kadar segera.
“Kami terus prihatin dengan segala keperluan dan akan terus membantu semua keluarga yang terjejas dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Kira-kira pukul 2.15 petang hari ini, penduduk di kawasan itu cemas apabila satu fenomena belalai air berlaku selama 20 minit di perairan kawasan tersebut. – UTUSAN ONLINE











