KUALA LUMPUR 3 April – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal mentransformasi lorong belakang bangunan di Bandar Puteri 1 dan 2, Puchong, Selangor sebagai ‘Place Making’ yang dihiasi lukisan mural selain menjadikannya hub penjaja setempat.
Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, pelaksanaan Program Rejuvenasi di pusat komersial tersebut akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan perjumpaan pemilik premis, tindakan penguatkuasaan dan perancangan oleh MPSJ.
“Program ini akan melibatkan sebanyak 20 lorong belakang merangkumi 799 buah premis berdaftar keseluruhannya.
“Kami harap pelaksanaan program ini dapat meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan pemilik premis terutama isu kebersihan lorong belakang bangunan, struktur binaan tanpa kebenaran dan halangan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perjumpaan Awam Perbandaran (Town Hall Meeting) MPSJ yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam serta Pembangunan Kampung baru Negeri Selangor, Ng Sze Han, di sini hari ini
Turut serta, Ahli Jawatankuasa Penduduk MPSJ Zon 16, Yap Kok Weng dan pemilik-pemilik premis pusat komersial berkenaan di Tingkat 5, Menara 2, Puchong Financial Corporate Centre (PFCC) dekat sini.
Noraini berkata pihaknya mahu Program Rejuvenasi kali ketiga itu akan menjadikan lorong belakang bangunan Jalan Kenari, Puchong yang diubah menjadi kawasan lebih selamat, bersih dan indah sebagai projek contoh.
“Perubahan wajah lorong belakang khususnya di kawasan komersial akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi selain menginovasikan ‘Place Making’ sebagai destinasi popular untuk merakam gambar kenangan serta sebagai pusat penjaja ‘Food Truck’ setempat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











