Ketua Pegawai Pemasaran AIA, Heng Zee Wang berkata, manfaat penjejak tidur terbaharu ini memberi ganjaran sebanyak 10 mata AIA setiap hari kepada ahlinya (had tahunan sebanyak 2,000 mata setiap tahun keahlian) jika mereka mencapai waktu tidur terkumpul minimum selama tujuh jam atau 420 minit dalam tempoh 24 jam.
Katanya, tempoh tidur boleh dijejak dengan melaraskan aplikasi mudah alih AlA Vitality dengan peranti jejak kecergasan seperti Fitbit, Garmin dan Misfit.
“Peranti tersebut akan merekodkan tempoh tidur seseorang dengan menjumlahkan masa tidur mereka bermula pukul 12 tengah hari sehingga pukul 12 tengah hari pada hari berikutnya.
“Setakat ini, kami mempunyai lebih 100,000 ahli AIA Vitality yang aktif dan kami berhasrat untuk meningkatkan jumlah tersebut dengan mendekati lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran manfaat penjejak tidur di sini hari ini.
Berdasarkan statistik kebangsaan, sembilan daripada 10 rakyat Malaysia (89 peratus) mengalami satu atau lebih masalah berkaitan tidur. – UTUSAN ONLINE











