CYBERJAYA 16 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiada keperluan mendesak pada masa ini bagi Malaysia untuk membina kereta api berkelajuan tinggi (HSR).
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk meningkatkan jaringan sistem kereta api menerusi teknologi elektrik dan penggunaan landasan berkembar.
“Pada masa ini, kereta api berkelajuan tinggi bukan keperluan, terutamanya apabila ia hanya menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur.
“Jadi kita tidak akan bina HSR buat masa ini, tapi kita mahu mempertingkat kualiti dan perkhidmatan sistem kereta api sedia ada, ini boleh dilakukan dan ada yang sudah dilakukan seperti penggunaan teknologi elektrik dan landasan berkembar.
“Teknologi elektrik tidak mencemarkan alam sekitar, pada masa sama mempercepatkan perjalanan. Landasan berkembar pula membolehkan tren melepasi satu sama lain tanpa berhenti,” katanya pada sesi soal jawab selepas merasmikan pameran Technomart Rel 2019 di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, kerajaan mungkin akan mewujudkan HSR kemudian bagi menghubungkan Johor Bahru di Selatan dan Pulau Pinang di Utara serta kemungkinan landasan dipanjangkan sehingga ke sempadan Thailand.
“Tetapi perkara ini tidak dibincangkan bersama Singapura kerana perjanjian kita hanya bagi perkhidmatan antara Singapura ke Kuala Lumpur,” katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr. Mahathir berkata, tiada sebarang kontrak diagihkan setakat ini.
Pada 5 September tahun lalu, Singapura bersetuju pembinaan HSR ditangguhkan sehingga akhir Mei 2020.
Susulan permohonan Malaysia itu, kerajaan bersetuju membayar kos penangguhan S$15 juta (RM45 juta) kepada kerajaan Singapura sebelum 31 Januari 2019.
Awal Februari lalu, Kementerian Pengangkutan Singapura dilaporkan berkata, Malaysia sudah membuat bayaran kos penangguhan pelaksanaan projek berkenaan. – UTUSAN ONLINE











