SANDAKAN 29 April – Terminal Bas Bersepadu bernilai RM20 juta di Batu 3 Jalan Utara di sini yang mula dibina pada tahun 2013 dan siap januari lepas, dijangka akan mulai beroperasi menjelang hujung tahun ini.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Anggota Dewan undangan Negeri Karamunting George Hiew Vun Zin berkata ketika ini terminal bas itu memerlukan pemeriksaan lebih teliti terutamanya melibatkan aspek keselamatan.
“Kita akan buat pemeriksaan bersama kontraktor bagi mengatasi masalah yang ada, bagi membolehkan terminal ini beroperasi. Selain itu, sistem ‘sprinkler’ seperti yang dikehendaki pihak bomba di bahagian luar terminal ini juga perlu dipasang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat terminal bas berkenaan, di sini hari ini.
Menurutnya terminal yang dibina diatas tanah seluas enam hektar itu mempunyai 12 petak untuk bas pengangkutan ke luar daerah termasuk ke Tawau, Kota Kinabalu serta Semporna, dan antara kemudahan yang disediakan di terminal itu ialah surau, tandas, kawasan tempat letak teksi dan kereta. – BERNAMA











