PROSES peletakan jawatan Datuk Osman Sapian selaku Menteri Besar Johor berjalan lancar apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerimanya di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, pukul 9 pagi tadi.
Ramai menjangkakan sebelum ini, perubahan pucuk pimpinan itu akan mencetuskan kemelut politik berpanjangan di Johor termasuk mengheret Putrajaya dan pihak istana Johor dalam kancah pertelingkahan dan mengkusutkan lagi hubungan yang sudah sedia bercelaru.
Perkembangan itu hingga ada menjangkakan akan berlaku krisis Perlembagaan versi baharu antara kerajaan Perseketuan dengan kerabat diraja Johor.
Walaupun tempoh Osman yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mentadbir negeri ini hanya kira-kira 11 bulan, namun beliau yang sering terpalit kontroversi tetap mempunyai jasanya sendiri terhadap kira-kira 3.5 juta rakyat Johor.
Antaranya melaksanakan 10 janji 100 hari PH Johor dan meneruskan inisiatif itu hingga melepaskan jawatannya.
Begitu juga merangka pelan pembangunan jangka panjang untuk Johor iaitu Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030.
Beliau juga melupuskan hutang lapuk kerajaan negeri kepada Persekutuan sebanyak RM187 juta atau 57 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Ini termasuk menyelesaikan masalah kekurangan air sejak 60 tahun lalu dengan membina telaga tiub air di gugusan Felda Lok Heng, Kota Tinggi.
Beliau juga mengurangkan premium tanah daripada RM3 kepada RM1 untuk penduduk Felda dan meningkatkan elaun ketua kampung kepada RM900 dan pemberian komputer riba untuk kemudahan ketua kampung.
Osman turut melaksanakan kajian mengurangkan kesesakan di Tambak Johor,
menggerakkan inisiatif untuk tidak lagi bergantung kepada Singapura dalam mendapatkan air terawat.
Insentif Harapan Siswa – Menambah Kadar Bantuan Kemasukan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) peringkat Ijazah daripada RM750 kepada RM1000 juga dilakukan beliau.
Tidak ketinggalan mereformasi sektor perumahan Johor dalam usaha menyediakan 100,000 unit rumah mampu biaya (RMB) menjelang 2023.
Beliau memperluaskan lagi kawasan Pembangunan Iskandar Malaysia ke daerah Kota Tinggi, Kluang dan Pontian bertepatan dengan misi mengambalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.
Menjenamakan Unit Strategik Modal Insan Johor dengan mengadakan program Insan Johor 2019 sekali gus mengupayakan pendapatan kumpulan sasaran iaitu golongan B40 daripadan kumpulan orang kurang upaya (OKU), komuniti Orang Asli, belia dan ibu tunggal.
Selepas ini beliau oada usia 67 tahun akan terus menabur bakti berkhidmat untuk rakyat Johor sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas.
Terima kasih Tok Man! – UTUSAN ONLINE











