SHAH ALAM 1 April – “Saya ingin menyanyi dan berlakon. Terima kasih Jabatan Peguam Negara, mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, peguam dan Kedutaan Vietnam. Terima kasih media.”
Itu reaksi wanita Vietnam, Doan Thi Huong, 30, ketika ditanya media selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan empat bulan selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan alternatif mencederakan lelaki Korea Utara, Kim Jong-nam.
Hakim Azmi Ariffin memerintahkan hukuman tersebut berjalan dari hari wanita itu ditahan iaitu 15 Februari 2017, sekali gus bermakna Thi Huong akan dibebaskan dalam tempoh beberapa minggu sahaja lagi.
Sebelum ini, Thi Huong yang bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat hiburan di Vietnam didakwa bersama-sama wanita Indonesia, Siti Aisyah didakwa bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas membunuh Jong-nam di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari 2017.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori.
Bagaimanapun, pada 11 Mac lalu, Mahkamah Tinggi sama telah melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah, 27, daripada pertuduhan membunuh Jong-nam, selepas Pejabat Peguam Negara menarik pendakwaan mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.
Terdahulu, Thi Huong mengaku bersalah atas pertuduhan atas tuduhan alternatif menyebabkan kecederaan terhadap Jong-nam menggunakan bahan berbahaya iaitu bahan kimia Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau agen saraf VX di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang dekat sini kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari 2017.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut.
Hakim Azmi Ariffin sebelum menjatuhkan hukuman tersebut menyifatkan tertuduh sangat bernasib baik kerana ditawarkan dengan pertuduhan alternatif tersebut berbanding pertuduhan asal yang membabitkan hukuman mati mandatori.
“Sekiranya perbicaraan bela diri diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kamu berdepan hukuman mati jika bersalah kerana perbicaraan bergantung sama ada kamu boleh menimbulkan keraguan munasabah atau tidak. Jadi kamu patut bersyukur apabila pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif ini,” katanya.
“Hukuman yang akan dikenakan, selepas mahkamah turut mengambil kira kamu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dalam negara sebelum ini,” kata Hakim Azmi.
Thi Huong yang memakai skaf dilihat menundukkan kepalanya berulang kali selepas kenyataan hakim itu diterjemahkan oleh jurubahasa Vietnam.
Pada 14 Mac lalu, Jabatan Peguam Negara menolak reprentasi kedua yang dikemukakan Thi Huong, bagi menggugurkan daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. Ekoran itu, Thi Huong dikatakan mula tertekan dan tidak boleh tidur sehingga perlu mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Thi Huong dan Siti Aisyah sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac 2017 sebelum diperintahkan membela diri atas pertuduhan membunuh Jong-nam pada 16 Ogos tahun lalu.











