KUALA LUMPUR – Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) akan mengadakan sesi temu duga dan uji bakat untuk pelajar bagi Pengajian Asasi Seni Kreatif pada 6 hingga 8 Mei ini di pejabatnya di Kuala Lumpur.
Selain itu, temu duga juga akan diadakan pada 12 Mei di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah dan Terengganu, 13 Mei di JKKN Melaka dan Sarawak manakala 15 Mei di JKKN Sabah.
Rektor Aswara, Prof. Madya Sahar Sa’di Hashim dalam kenyataannya hari ini berkata, temu duga dan uji bakat itu diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai yang berminat tetapi tidak dapat menghadiri Hari Terbuka Aswara 2019 pada Sabtu lepas.
“Bagi panggilan temu duga dan uji bakat Pengajian Diploma dan Ijazah Sarjana Muda pula, ia bermula pada 30 Jun di JKKN Kedah dan Terengganu, 1 Julai di JKKN Melaka dan Sarawak, 3 Julai di JKKN Sabah, manakala di Aswara, Kuala Lumpur pada 8 hingga 11 Julai.
“Pelajar yang berminat memasuki Aswara disarankan membawa sijil asal dan salinan yang berkaitan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf bagi menjalani sesi temu duga dan uji bakat,” katanya.
Permohonan dan pendaftaran bagi Pengajian Diploma dan Ijazah Sarjana Muda boleh dibuat di www.aswara.edu.my sebelum tarikh tutup permohonan pada 15 Mei 2019, atau hubungi Unit Kemasukan dan Rekod di talian 03-2778 5960/5961. – BERNAMA











