REMBAU 13 April – Telatah seorang penyokong wanita Pakatan Harapan (PH), R. Vijaya ketika meraih undi bagi calon parti itu menarik perhatian ramai di Taman Angsamas, Rantau di sini hari ini.
Suri rumah itu menari sambil melaungkan perkataan ‘empat’ dalam bahasa Tamil, merujuk nombor calon PH, Dr. S. Streram dalam kertas undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Dia turut bersorak dan menunjukkan empat jari setiap kali kenderaan melintasi kawasan berhampiran Pusat Mengundi di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas berkenaan.
Menurut suri rumah dari Semenyih itu, dia aktif berkempen di Rantau sejak dua minggu lalu dan turut terlibat dalam PRK di DUN berkenaan baru-baru ini.
Sementara itu, pertengkaran kecil tercetus antara penyokong PH dan Barisan Nasional berhubung jarak mereka berhimpun yang dikatakan terlalu hampir dengan pusat mengundi.
Bagaimanapun suasana terkawal selepas masing-masing bertolak ansur dan meneruskan aktiviti meraih undi. – UTUSAN ONLINE











