SABAK BERNAM – Seekor lembu jantan seberat 300 kilogram (kg) berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam parit berlumpur selama enam jam di Kampung Sungai Labu, Sekinchan di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, lembu tersebut tersekat dalam parit sedalam satu meter.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan, Pegawai Bomba Mohd. Syafarin Jais berkata, seramai 10 anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 6.41 petang.
Katanya, difahamkan lembu itu mula terperangkap dalam parit kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum disedari pemiliknya.
“Pemiliknya cuba menarik lembu itu dengan bantuan orang ramai namun gagal.
“Kita terpaksa menggunakan hos bomba dan operasi mengeluarkan lembu itu mengambil masa selama 10 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, lembu itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diserahkan kepada pemiliknya. – K! ONLINE











