SEORANG sarjana dan cendekiawan Islam yang berasal dari Mesir, Profesor Dr. Yusof Al Qardhawi, katanya, Apabila kita hendak melihat negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dalam kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi maka negara kita pada masa depan akan menjadi negara yang aman dan makmur. Tetapi jika keadaan sebaliknya, bersedialah kita untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.
Menjelang 2020, generasi muda perlu diasuh dengan teladan yang baik dan diberikan penghayatan untuk menjadi warga negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Ini kerana mereka merupakan aset yang penting dan juga tulang belakang kepada negara. Di samping itu, mereka juga perlu disedarkan tentang peranan masing-masing sebagai penggerak negara.
Generasi muda pada hari ini perlu mewujudkan satu bentuk pemikiran yang unik dan memperluaskan kemampuan sedia ada untuk meneroka bidang-bidang lebih mencabar. Ini bermaksud mereka perlu berani mengambil risiko dalam menceburi sesuatu bidang yang boleh meningkatkan taraf hidup mereka.
Bidang akademik merupakan satu komponen amat penting terhadap generasi muda di era pemodenan ini kerana mereka perlu bersiap siaga dalam menghadapi dunia global yang tiada sempadan ini.
Untuk melahirkan generasi muda berkualiti dan berketerampilan, kecemerlangan akademik merupakan satu elemen yang sangat penting. Sehubungan itu, mereka perlu lebih proaktif dalam menimba segala ilmu pengetahuan terutamanya ilmu sains dan matematik. Selain itu, mereka juga perlu menguasai bahasa Inggeris kerana ia merupakan bahasa perantaraan di seluruh dunia. Secara tidak langsung, ia merupakan persediaan untuk bersaing dengan masyarakat seantero dunia.
Integriti merupakan antara elemen utama yang perlu ada oleh semua lapisan masyarakat untuk memastikan kemajuan sesebuah negara. Integriti terhadap generasi muda perlu diperhebatkan secara pembudayaan yang berterusan. Integriti perlu berpaksikan kepada nilai-nilai murni seperti amanah, adil, jujur, benar, bertanggungjawab, telus dan cekap. Ia bermula dari dalam diri setiap individu yang lahir menerusi hati, minda dan emosi. Integriti merupakan perkara yang perlu diamalkan oleh generasi muda sekiranya ingin menyumbang kepada pembangunan negara.
Generasi muda mempunyai tanggungjawab dalam pembangunan negara kerana golongan ini merupakan harapan bangsa dan tunjang yang bakal menerajui Malaysia. Hanya mereka yang berkualiti dapat memangkin kecemerlangan negara. Mereka yang bakal menerajui negara ini haruslah merdeka daripada masalah sosial. Namun begitu, masih terdapat generasi muda yang keciciran dan tersasar dari jalan yang betul. Oleh itu, generasi muda perlu diasuh dan dibimbing dengan betul agar dapat melengkapkan diri mereka dengan ciri-ciri mulia supaya dapat mewujudkan modal insan yang hebat.
NORA FARINA MOHD. HALIM ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM).











