AMSTERDAM 11 April – Cristiano Ronaldo meraikan kepulangan semula dalam pasukan selepas pulih daripada kecederaan dengan meledak gol tunggal Juventus untuk mengikat Ajax 1-1 pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara hari ini.
Penyerang Portugal itu menenggelamkan sorakan 50,000 penonton tuan rumah di Arena Johan Cruyff apabila menanduk gol Juventus pada minit ke-45.
Ini adalah jaringan ke-125 buat Pemain Terbaik Dunia lima kali itu di pentas kelab elit Eropah.
Ajax bagaimanapun tidak menunggu lama untuk meraih gol penyamaan selepas pemain sayap Brazil, David Neres meledak gol cantik tidak sampai seminit babak kedua bersambung.
Biarpun kedua-dua pasukan gagal menambah gol, namun berjaya mengikat Ajax di tempat lawan memberi kelebihan buat Juventus apabila turun dalam suku akhir kedua di Turin, Selasa depan.
Pemenang perlawanan itu akan bertemu sama ada Manchester City atau Tottenham pada separuh akhir. Semalam Spurs menewaskan City 1-0 di London.
Ronaldo, 34, yang membuat penampilan pertama sejak mengalami kecederaan paha ketika beraksi buat Portugal, 26 Mac lalu memburu trofi Eropah pada musim pertama bersama Juventus. – AFP











