KUALA LUMPUR 2 April.- Seorang pelajar perempuan berdepan detik hitam apabila dirogol enam lelaki, termasuk kenalannya sendiri di sebuah pangsapuri di Putatan, Penampang, Sabah pada Ahad lalu.
Memetik Laporan Harian Metro, sebelum kejadian itu, mangsa berusia 15 tahun dikatakan keluar bersama kenalannya dan beberapa lelaki di Putatan.
Lapor Harian Metro lagi, seorang daripada rakan kenalannya itu kemudian memberi minuman keras sehingga mangsa mabuk sebelum dibawa ke pangsapuri di sekitar Putatan dekat sini.
Berikutan itu, mangsa dikatakan tidak sedar apa yang berlaku pada dirinya dan hanya menyedari dirinya dirogol selepas mendapati dirinya dalam keadaan bogel bersama seorang lelaki yang tidak dikenalinya.
Tambah laporan tersebut lagi, satu laporan polis dibuat oleh mangsa susulan kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan masih dijalankan.
“Berdasarkan laporan itu, sepasukan polis menahan lima lelaki yang disyaki terbabit untuk membantu siasatan.
“Polis masih menjalankan siasatan, termasuk mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah Mohd. Haris, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol.-UTUSAN ONLINE











