KUALA LUMPUR 26 April – Peguam Negara, Tommy Thomas menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau gagal meyakinkan Majlis Raja-Raja berhubung isu Statut Rom.
Katanya, tuduhan itu tidak benar dan penjelasan mengenai perkara itu akan dibuat Sabtu ini.
“Sudah tentu ia tidak benar (tuduhan gagal meyakinkan Majlis Raja-Raja). When its raining, they put the blame on me. (apabila tiba masalah, mereka akan menyalahkan saya). When there is no rain, they blame on me too (apabila tidak ada masalah, mereka juga menyalahkan saya),” katanya kepada pemberita di lobi Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai dakwaan terhadap dirinya yang dikatakan gagal meyakinkan Majlis Raja-Raja dalam hujah balas mengenai Statut Rom yang dijalankan baru-baru ini sehingga kerajaan terpaksa menarik diri daripada meratifikasi perjanjian undang-undang itu.
Pendedahan itu turut dibuat pengamal undang-undang, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang memberitahu bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat meratifikasi Statut Rom berpunca daripada Tommy.
Mohd. Khairul Azam malah menjelaskan,kegagalan sedemikian juga bukan disebabkan oleh tindakan empat profesor perundangan yang dituduh cuba mengelirukan Majlis Raja-Raja dengan membentangkan rumusan kertas kerja masing-masing.
Keempat-empat profesor undang-undang itu ialah Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad; Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr Shamrahayu Ab. Aziz; serta dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.
Dalam pembentangan kertas kerja di hadapan Majlis Raja-Raja itu, Tommy dan Professor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi mewakili kerajaan. – UTUSAN ONLINE











