KUALA LUMPUR 3 April – Pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak berdepan masalah melangkah ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Malaysia, hari ini.
Pasangan negara itu menampilkan permainan pantas untuk menundukkan pasangan Indonesia, Alfian Eko Prasetya-Marsheilla Gischa Islami 21-13, 21-15 dalam tempoh 23 minit dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena, di sini hari ini.
Shevon ketika ditemui memberitahu, permainan hari ini boleh disifatkan sebagai antara yang terbaik dan meraih kemenangan pertama di laman sendiri memang sesuatu yang diinginkan mereka.
“Perlawanan hari ini lebih mudah dan kali ini kami mahu tampilkan aksi lebih baik untuk membanggakan penyokong di tempat sendiri.
“Pada awal permainan kami tidak tahu apa yang akan berlaku kerana tidak pernah jumpa mereka sebelum ini, jadi kami gunakan peluang yang ada untuk segera sesuaikan diri dengan keadaan gelanggang,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.- UTUSAN ONLINE











