MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer kini selangkah ke hadapan dalam usaha memujuk Paul Pogba terus kekal di Old Traffod selepas perancang tersebut dikaitkan menyertai Real Madrid pada penghujung musim ini.
Pogba sebelum ini pernah mendedahkan impiannya untuk beraksi dengan Real serta bekerjasama dengan legenda Perancis, Zinedine Zidane, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa dia mungkin akan meninggalkan United pada musim panas ini.
Spekulasi itu bertambah rancak apabila Zidane juga mengakui dia sangat berminat untuk melihat Pogba dalam pasukannya suatu hari nanti.
Namun, Solskjaer mendedahkan bahawa dia telah berjaya memujuk Pogba untuk kekal di Old Trafford selepas berbincang dengan pemain antarabangsa Perancis tersebut baru-baru ini.
“Tidak kira mana-mana kelab sekali pun yang berminat ke atas pemain kami, mereka kena tahu ini adalah Manchester United.
“Hanya satu perkara yang boleh saya katakan kepada mereka iaitu Paul Pogba dan David De Gea tidak akan dijual.
“Mereka berdua akan terus bersama United pada musim hadapan dan akan kekal di sini iaitu Old Trafford,” kata Solskjaer. – Agensi.











