PUTRAJAYA 9 April – Singapura bersetuju untuk meluaskan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands dalam usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor berikutan jumlah kenderaan yang semakin meningkat, terutama laluan motosikal.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, perkara tersebut merupakan antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat Sesi Pemukiman Ke-9 Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
“Kami juga berbincang mengenai kesesakan yang berlaku di CIQ dan Dr. Mahathir menyatakan Sistem Transit Rapid (RTS) tidak mampu menyelesaikan masalah tersebut, dan saya bersetuju.
“Justeru Singapura bersetuju meluaskan kapasiti kompleks berkenaan di kedua-dua arah bagi mempercepatkan proses keluar-masuk kenderaan, namun akan mengambil masa melaksanakanya,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas sesi pemukiman berkenaan di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas isu pertikaian sempadan dan ruang udara, Hsien Leong berkata, isu-isu berkenaan boleh menjejaskan hubungan dua hala jangka panjang jika tidak ditangani dengan baik.
Beliau turut mencadangkan Malaysia menambah dua lagi landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan di kedua-dua negara.
Dalam pada itu Dr. Mahathir berkata, kesesakan di Tambak Johor dan Lebuh Raya Linkedua menjadi masalah utama bagi kedua-dua negara dengan hampir 300,000 orang menggunakannya setiap hari.
“Kedua-dua negara kini sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik seterusnya meneroka inisiatif bersesuaian bagi menangani isu berkenaan.
“Ia akan merangkumi peningkatan infrastruktur fizikal, semakan semula polisi dan peraturan sempadan serta penambahbaikan kualiti perkhidmatan sempadan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











