KUALA LUMPUR 25 April–- Platform beli-belah dalam talian Shopee mengunjurkan nilai dagangan kasarnya (GMV) meningkat tiga kali ganda pada kempen hari raya tahun ini berbanding kempen pada tahun sebelumnya,
Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Marianne Chuo berkata, kempen sebelum ini mencatatkan peningkatan GMV 2.6 kali ganda dan pihaknya yakin kempen ‘Raya Dengan Shopee’ dapat membantu memacu peningkatan jualannya untuk tahun ini.
“Selain kempen ‘Raya Dengan Shopee,’ pelanggan Shopee turut memperkenalkan Shopee Automall yang mana pelanggan kini boleh membeli kenderaan di platform kami.
“Dengan beberapa langkah mudah, pemilikan kenderaan kini boleh dilakukan di hujung jari,” katanya pada majlis pelancaran kempen ‘Raya Dengan Shopee’ di sini hari ini.
Shopee melancarkan kempen ‘Raya Dengan Shopee’ bermula hari ini sehingga 6 Jun depan.
Chuo berkata, sepanjang tempoh kempen berkenaan, pengguna dapat menikmati pelbagai tawaran hebat dan diskaun sehingga 80 peratus daripada 600 jenama di Shopee Mall dan lebih 450,000 penjual di platform berkenaan.
Katanya, selain barangan kelengkapan bagi persiapan raya, buat pertama kalinya Shopee turut menawarkan rumah kediaman serta motosikal dan kereta.
“Pelanggan kini boleh membuat tempaham bagi rumah kediaman pilihan yang ditawarkan SP Setia dengan yuran tempahan RM688.
“Selain itu, mereka juga boleh membeli pelbagai jenis kereta dan motosikal di Shopee AutoMall dan menerima tawaran eksklusif termasuk yuran tempahan serendah RM1 dan pelbagai faedah menarik yang lain,” katanya.











