MUAR – Seorang pemancing ditemui mati lemas terapung kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi bot dinaikinya bersama dua lagi rakan terbalik di Sungai Durian Chondong di sini awal pagi ini.
Mangsa, Masri Ahmad, 38, ditemui kira-kira pukul 8 pagi selepas sepasukan Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua hari ini.
Menurut Komander Operasi BBP Bukit Gambir, Mohd. Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian lemas pada pukul 10.34 pagi semalam.
“Kita menerima panggilan kecemasan pagi semalam sebelum operasi SAR dilakukan dengan bersama 10 anggota untuk mencari mangsa.
“Maklumat awal kita menerima laporan kejadian lemas melibatkan sebuah bot yang dinaiki tiga pemancinf terbalik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Khairul berkata, dua mangsa dapat menyelamatkan diri selepas berenang ke tebing manakala seorang lagi dikhuatiri lemas.
Jelasnya, operasi SAR menggunakan teknik mencari di atas permukaan dan dibantu selaman oleh pasukan PPDA dengan jarak 150 meter radius dari mangsa jatuh.
Bagaimanapun, katanya, operasi pencarian ditangguhkan pada pukul 7.35 malam semalam kerana ribut dan cuaca gelap sebelum disambung pukul 7 pagi hari ini.
Mohd. Khairul berkata, mangsa ditemui terapung kira-kira 1km dari lokasi bot terbalik dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-K! ONLINE.











