ENAM tahun lamanya Malaysia menjadi saudara yang menggenggam rapat salam dari Bosnia dan Herzegovina (Bosnia) ketika negara Balkan itu ditimpa musibah peperangan.
Malah, selepas perang tamat, tali persaudaraan itu masih belum putus. Malaysia giat membantu negara itu membangunkan ekonominya.
Antara jasa terbesar Malaysia adalah mengasas dan menaungi Forum Perniagaan Sarajevo (SBF) yang pada tahun ini sudah menjejak usia 10 tahun.
Individu yang mengemudi hubungan rapat ini tidak lain dan tidak bukan adalah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Maka tidak hairanlah ketika wajah Dr. Mahathir terpampang pada skrin dalam majlis pelancaran SBF 2019 di Bangunan Parlimen di Sarajevo, 17 April lalu, segenap dewan memberi tepukan gemuruh.
MISI EKONOMI DI BUMI SARAJEVO
Delegasi Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) terdiri daripada 47 usahawan mewakili 34 syarikat membawa misi penting ke Bosnia.
Peluang menyertai Karnival Keusahawanan Halal Malaysia (MEHC) 2019 yang julung-julung kali diadakan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Penganjuran karnival itu selaras dengan hasrat Kementerian Pembangunan Usahawan pimpinan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang mahu melebar sayap Malaysia mengemudi pembangunan industri halal ke seluruh dunia.
Sebagai saudara rapat, Bosnia adalah destinasi tepat untuk mengembangkan pengaruh Malaysia dalam industri halal.
Demografi negara itu yang majoriti Islam mampu membuka peluang kepada para usahawan Malaysia untuk melebarkan sayap ke sana.
Ditambah dengan pengaruh Malaysia yang sememangnya dikenali sebagai peneraju industri halal dunia.
Sehingga Februari lalu, terdapat 45 negara merangkumi enam autoriti dan 78 badan pensijilan mengiktiraf piawaian status halal Malaysia dioperasikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pada 2018, nilai eksport produk halal Malaysia mencecah RM40 bilion, dengan destinasi utamanya Singapura, China dan Jepun.
Pastilah itu bukan titik henti. Di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, Malaysia bercadang untuk mengembangkan lagi potensi eksport produk halal dengan membantu usahawan-usahawan dalam industri itu menembusi pasaran lebih besar di luar negara. Salah satu destinasinya ialah Bosnia.
PENGARUH PAK WAN
Mohd. Redzuan mempunyai visi besar tentang industri halal. Kepetahannya bercakap mengenai industri itu menggambarkan keterujaannya memperkenal idea halal versi Malaysia kepada dunia.
Ketika menyampaikan syarahan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Sarajevo, 19 April lalu, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Wan terlebih dahulu membuka pandangan hadirin dengan potensi industri halal yang jarang disedari ramai.
Menurut beliau, angka AS$2.3 trilion adalah terlalu kecil untuk menggambarkan potensi sebenar industri halal.
Angka tersebut hanya menilai produk makanan dan minuman sedangkan industri itu horizonnya lebih luas iaitu merangkumi produk kosmetik, farmaseutikal, kimia dan penjagaan diri.
Katanya, anggaran nilai industri halal di seluruh dunia sebenarnya AS$7 trilion, satu nilai yang perlu diberi perhatian oleh Malaysia.
Sebab itu, pembangunan industri halal terus menjadi fokus Mohd. Redzuan ketika menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) di Kazan, Rusia sebaik sahaja lawatan kerja beliau ke Bosnia tamat. Kali ini, visi beliau lebih besar.
Beliau melihat dunia tanpa sempadan. Piawaian halal yang berbeza-beza di setiap negara Islam adalah bermasalah.
Produk yang halal di Malaysia belum tentu halal di Amerika Syarikat.
Sehubungan itu, beliau ingin membawa cadangan penubuhan sebuah badan piawaian antarabangsa untuk mengeluarkan pengiktirafan yang boleh diterima di semua negara Islam.
CABARAN BOSNIA
Sebagai sebuah negara yang sedang dalam proses pemulihan daripada perang, Bosnia tidak menawarkan pasaran yang lumayan buat Malaysia.
Dengan populasi hanya sekitar 3.5 juta orang, pasaran Bosnia agak terhad bagi produk-produk Malaysia.
Ditambah pula dengan kuasa beli penduduk tempatan yang rendah, Bosnia boleh dikatakan bukan sebuah destinasi perniagaan yang boleh memberi keuntungan besar.
Negara itu juga ada masalah dari segi mobiliti kargo. Pantainya hanya sepanjang 25 kilometer, menyebabkannya tidak mempunyai pelabuhan untuk menurunkan barang-barang import dari negara lain.
Lapangan terbangnya pula terlalu kecil. Harapan yang ada hanyalah pengangkutan darat melalui jalan raya dan landasan kereta api dengan bantuan Pelabuhan Ploce di negara jirannya, Croatia.
CIPTA KEJAYAAN
Namun cabaran itu tidak mampu melemahkan semangat usahawan Malaysia. Semangat yang didukung membuatkan mereka tetap mahu meluaskan pasaran di negara Balkan itu.
MEHC 2019 mencipta kejayaan. Sebanyak RM1.1 juta jualan berjaya diperoleh dalam masa tiga hari karnival dan RM55 juta potensi jualan berjaya diikat.
Antara yang paling mendapat sambutan ialah produk minyak masak berasaskan sawit. Ini sekali gus menolak persepsi bahawa warga Eropah tidak gemarkan minyak sawit.
Selepas pulang, penulis terus mendengar berita baik. Khabarnya, akan ada cef tersohor dari Malaysia membuka restoran di Bosnia, hasil galakan Mohd. Redzuan dan kementeriannya.
Semoga usaha kerajaan dan kerja keras para usahawan bakal menampakkan hasil.
Besarlah harapan agar hubungan rapat Malaysia-Bosnia terus terpelihara agar kedua-dua negara dapat menjadi mercu tanda kerjasama Asia-Eropah yang berjaya.











