SERINGKALI pelakon baharu, Jasmine Suraya Chin Xian Mei atau lebih dikenali dengan nama Jasmine Suraya dikecam gara-gara kerap memuat naik foto seksi dalam laman sosialnya.
Malah anak kelahiran Kuching, Sarawak ini juga mengakui selalu menerima komen negatif daripada lelaki-lelaki ‘miang’, namun dia enggan melayan.
Menurut Jasmine, dia tidak mempunyai niat untuk melanggar tatasusila sebaliknya sekadar berkongsi perkembangan terbaharu kepada peminat dan pengikut laman sosial terbabit.

“Tak dinafikan memang ada lelaki yang meninggalkan komen-komen melampaui batas, malah lebih menyedihkan kebanyakan mereka adalah remaja. Saya sendiri tidak faham dengan mentaliti mereka ini.
“Pada usia sebegini, mereka tidak patut mempunyai fikiran yang nakal. Apatah lagi kata-kata mereka seakan cuba menyebarkan perkara negatif kepada umum,”jelas Jasmine.
Tidak berasakan apa yang dipamerkan itu terlalu seksi sehingga menjadi kecaman, Jasmine bagaimanapun mengambil sikap berdiam diri apabila berhadapan dengan situasi begitu.
“Sebenarnya apa yang saya kongsikan itu adalah tentang perjalanan seni saya, tidak terlintas untuk menyinggung sesiapa atau mencetuskan sebarang kontroversi.
“Mungkin seksi pada mata orang lain, namun tidak pada saya. Pada saya, penampilan sebegitu biasa-biasa saja dan tidaklah melampau.
“Namun sebagai manusia saya tetap cuba menambah baik tingkah laku saya dari semasa ke semasa,” luah Jasmine yang pernah berlakon bersama Hairul Azreen dan Gambit Saifullah menerusi filem Paskal.
Pernah berhasrat untuk menjawab semua komen-komen sinis dalam Instagram miliknya, Jasmine bagaimanapun melupakan niatnya itu bagi mengelakkan perkara itu berlarutan.
“Ada kalanya saya nak juga membalas komen-komen mereka, namun setelah merangka ayat saya batalkan niat itu.
“Saya rasa tidak elok pula jika saya memerli mereka dengan kasar. Lebih baik saya ambil pendekatan untuk diamkan sahaja perkara ini. Jika saya balas, pasti mereka lebih gembira, jadi baik saya berdiam diri sahaja,”luah Jasmine.
Perkembangan terbaharu
Bercerita soal perkembangan dirinya dalam industri seni, Jasmine telah menerima tawaran untuk berlakon dalam drama rantaian KL Gangsters Underworld, terbitan Iflix.
“Saya sedang membuat persediaan untuk drama rantaian KL Gangsters Underworld dan memegang watak yang sama sejak musim pertama ditayangkan, cuma kali ini diperkembangkan lagi.
“Demi memberi lakonan yang berkesan, saya menjalani latihan seni mempertahankan diri selama tiga bulan bersama rakan pelakon dalam filem Paskal, Theeban G,” jelasnya.
Aksi lasak
Banyak melakonkan filem-filem aksi seperti Rembat, KL Wangan dan Paskal, Jasmine mengakui sering ditawarkan dengan watak-watak berat sebegini. Pernah mengalami kecederaan ketika dalam penggambaran, jelas Jasmine, dia kini lebih berhati-hati.
“Saya merupakan penghidap sindrom hyperlaxity atau hypermobility. Jika terlalu banyak melakukan pergerakan sendi maka peratusan untuk mendapatkan kecederaan sangat tinggi. Saya pernah terseliuh sewaktu melakukan aksi kombat dan akibatnya saya tidak dapat bersenam selama tiga minggu.
“Namun ia tidak bermakna saya serik untuk melakonkan babak sebegini. Saya masih terima, namun jika aksi itu terlalu bahaya saya akan serahkan kepada pelakon lagak ngeri. Selagi mampu, saya akan lakukannya sendiri,” katanya.
Selain itu, menurut Jasmine, dia tidak keberatan sekiranya ditawarkan dengan naskhah-naskhah yang lebih berani dan seksi dan bersedia untuk melakonkannya.
“Saya tidak ada masalah tentang itu, okay sahaja kalau mereka minta aksi yang lebih berani dan seksi asalkan tidak melanggar sensitiviti masyarakat negara ini,” jelasnya.











