KUALA LUMPUR 3 April – Salam Web Technologies MY Sdn. Bhd. (Salam Web) bekerjasama dengan Global Halal Summit (GHaS) 2019 sebagai laman web rasmi patuh syariah.
Pengarah Urusan Salam Web, Hasni Zarina berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen kukuh syarikat terhadap pembangunan ekonomi digital Islam, meningkatkan peluang dalam persekitaran patuh syariah dan menyokong industri teknologi untuk menggabungkan prinsip-prinsip Islam sebahagian daripada ekosistem yang teguh.
Kata beliau, pihaknya menggalakkan pemilik perniagaan untuk menggunakan ekosistem Salam Web untuk merealisasikan matlamat perniagaan mereka.
“Syarikat permulaan boleh menggunakannya untuk meneroka model perniagaan baharu, perniagaan kecil meneroka segmen pasaran dalam talian manakala syarikat besar boleh membina asas kesetiaan pelanggan. Salam Web menyediakan platform yang selamat, dipercayai, mengambil bahagian dan menyumbang ke arah ekonomi digital Islam.
“Terdapat peluang yang besar dalam ekonomi digital Islam dan pembangunan teknologi mengukuhkan lagi kehidupan Muslim di seluruh dunia. Kami akan berusaha untuk merealisasikan agenda Ekonomi Digital Islam (IDE) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











