KUALA LUMPUR – Saksi pertama kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa tujuh pertuduhan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. sebanyak RM42 juta, mengesahkan Najib merupakan salah seorang pengarah Yayasan Rakyat 1Malaysia.
Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, yang merupakan Penolong Pendaftar di Unit Pengurusan Akaun Pengguna Bahagian Pemasaran Ibu Pejabat SSM di sini turut mengesahkan selain Najib, dua individu yang pernah memegang jawatan sama ialah Tan Sri Che Lodin Wok dan Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail.
“Kesemua mereka dilantik menjadi pada 11 Januari 2013,” katanya.
Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pada hari kedua perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di sini sebentar tadi.
Ketika ditanya Harvinderjit berhubung semua dokumen syarikat 1MDB Energy Sdn. Bhd. tidak pernah menggambarkan pemilik sahamnya adalah syarikat SRC, saksi itu berkata, ia adalah benar.
Terdahulu dalam keterangannya, saksi itu turut bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa terdapat resolusi berhubung pengeluaran 999,998 saham SRC kepada syarikat 1MDB Energy dalam mesyuarat diadakan oleh pemegang saham SRC pada Ogos 2011.
Dalam prosiding itu pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.
Pasukan pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.
Perbicaraan bersambung lagi petang ini.
Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.
Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC. – K! ONLINE











