Rantau yang ‘beranjau’ - Utusan Malaysia

Rantau yang ‘beranjau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM menulis rencana ini, penulis memulakan carian internet mengenai maklumat ‘Rantau’. Namun, secara tidak sengaja tertaip perkataan ‘ranjau’. Lantas, terpanggil memori penulis terhadap novel klasik Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara, Sahnon Ahmad.

Novel yang menarik ini menceritakan kisah sedih, duka yang penuh cabaran dan dugaan sebuah keluarga, pasangan Lahuma dan Jeha serta anak-anaknya. Novel ini pastinya tidak asing bagi yang pernah membacanya.

‘Rantau’ dan ‘ranjau’, bunyinya yang seakan-akan hampir sama namun maknanya yang berbeza. Berdasarkan kamus online Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘rantau’ membawa maksud sejenis pukat hanyut.

Memuatkan artikel berkaitan…

‘Rantau’ juga bermaksud daerah, kawasan, wilayah, zon atau negara asing di samping sinonim dengan pesisir, pantai, tebing, teluk dan tanjung.

‘Ranjau’ pula bermakna benda tajam yang dipasang di tanah untuk melukai orang atau sejenis alat letupan yang ditanam atau dipasang atau sesuatu yang dibuat untuk mencelakakan orang, tipu daya, atau juga kesukaran yang harus ditempuhi.

RANJAU BERDURI

Dalam rencana ini, ‘rantau’ dirujuk sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tempat berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK) pada 13 April ini sementara ‘ranjau’ pula laluan politik sukar lagi mencabar.

Persoalannya, apakah PRK Rantau penuh dengan ‘ranjau’? Jika diteliti jawapannya ya. PRK Rantau penuh ‘ranjau’ berduri bagi BN dan PH. Mungkin ‘ranjau’nya sedikit buat BN memandangkan selaku penyandang kerusi di samping beberapa faktor lain.

Pertama, dikatakan ‘ranjau’ kepada PH berikutan PRK Rantau ini diadakan selepas kekalahan dua kali PH pada PRK Cameron Highlands dan Semenyih. Rantau merupakan kubu kuat BN berdasarkan faktor sejarahnya.

Menurut rekod, DUN ini hanya pernah sekali sahaja dimenangi pihak pembangkang, Socialist Front (SF) pada PRU-1959 menerusi Gurnam Singh Gill. Namun semenjak itu, DUN ini berjaya dimenangi dan kekal di bawah penguasaan Perikatan-BN, (9 penggal dikuasai UMNO dan empat penggal diterajui MIC).

Justeru, jika mengambil kira kepada faktor sejarah, sudah pasti DUN ini menjadi ‘ranjau’ kepada PH untuk menawan ‘rantau’ itu pada PRK ini.

‘Ranjau’ keduanya adalah faktor penyandang kerusi. DUN Rantau disandang oleh bukan calang-calang tokoh politik. Datuk Seri Mohamad Hassan atau gelaran mesra politiknya Tok Mat.

Jika dahulu, beliau orang nombor satu di Negeri Sembilan, merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO negeri tanah adat itu, kini merupakan Timbalan Presiden UMNO memangku tugas-tugas presiden parti tertua di Malaysia.

Beliau juga kini merupakan orang nombor dua BN yang memangku Pengerusi BN termasuk ‘Ketua Angkatan’ sbeberapa PRK sebelum ini.

Ketiga, faktor calon anak tempatan yang bersifat mesra rakyat. DUN Rantau telah dimenangi Tok Mat sejak PRU-2004 iaitu selama tiga penggal (jika kemenangan beliau pada PRU-14 tidak diambil kira).

Pada tempoh yang sama itu juga beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan yang ke-10. Tokoh ini bukan sahaja banyak jasanya kepada kawasan ini, bahkan juga di seluruh negeri.

UMNO-PAS MANTAP

Dilahirkan di Rantau pada 2 Mei 1956, Tok Mat dibesarkan serta mendapat pendidikan awal dan menengah di Rantau.

Nama Tok Mat amat sinonim dan tidak dapat ‘dipisahkan’ dengan Rantau laksana beberapa tokoh politik lain seperti Dr. Mahathir (Kubang Pasu), Najib (Pekan), Haji Hadi (Marang/Rhu Rendang), Ku Li (Gua Musang), Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Shafie Apdal (Semporna). Justeru, ini juga menjadi ‘ranjau’ buat PH dalam menghadapi PRK Rantau ini.

Keempat, faktor impak pemuafakatan UMNO-Pas yang kian mantap. Kerjasama ini bertambah kukuh khususnya setelah kemenangan BN pasca PRK Semenyih pada 2 Mac yang lalu.

Selang tiga hari kemudian, UMNO mengumumkan kerjasama secara rasmi dengan Pas baik di peringkat Parlimen dan juga setiap PRK yang bakal ditandingi kedua parti itu.

Jika beberapa PRK sebelumnya, kedua-dua parti bekerjasama secara informal, namun pada PRK Rantau, kerjasama ini diformalkan, sekali gus bakal menyumbang ‘ranjau’ kepada PH.

Kelima, isu terkini seperti pengekalan Ronald Kindee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen, penolakan permohonan tapak upacara kematian kaum India di Sungai Tiram.

Selain itu kelewatan menyelesaikan isu pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sedikit sebanyak menjadi ‘ranjau’ kepada PH yang dilihat gagal ‘membebas’ diri dari stigma ketidakupayaan menunai janji manifesto PRU-14.

Sementara peristiwa tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 nyawa mungkin mendorong undi simpati daripada Melayu-Islam terhadap parti yang dilihat ‘lebih’ memperjuangkan hak dan isu Islam dimana dalam konteks terkini lebih menjurus kepada UMNO-Pas.

PENGUNDI ATAS PAGAR

Sementara di pihak BN-Pas pula, ‘ranjau’ dilihat dari segi kesukaran untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu yang masih condong menyokong PH.

Ini ditambahkan pula dengan pencalonan Dr. Streram yang sudah pasti dapat menarik sokongan kaum India dan Cina yang merupakan 46% daripada komposisi pengundi di DUN Rantau.

Seandainya ramai pengundi Melayu tidak keluar mengundi termasuk pengundi Melayu atas pagar, sudah pasti menjadi ‘ranjau’ kepada BN-Pas lantaran MCA-MIC kelihatan masih belum ‘pulih’ dari kejatuhan sejak PRU-2008.

Di samping itu, berdasarkan kepada rekod pengundian Parlimen Rembau pada PRU-14 di mana undi BN tewas di DUN ini. Jikalau keadaan ini tidak berlaku perubahan, situasi ini turut mengundang ‘ranjau’ kepada BN dalam mempertahan kerusi tersebut.

Bagaimanapun, seandainya senario itu bersifat undi protes semasa PRU-14, maka BN masih mempunyai peluang mengukir kemenangan ketiga.

Bilangan ahli dan pengundi Pas yang dikatakan agak rendah berbanding di dua kawasan PRK sebelum ini turut menjadi ‘ranjau’ kepada BN.

Dianggarkan, Pas hanya mempunyai sekitar antara 1,500 ke 2,000 pengundi sahaja di kawasan ini. Di Cameron Highlands dan Semenyih, Pas menyumbang bilangan pengundi yang signifikan iaitu 3,500 dan 7,000, sekali gus mendorong kemenangan BN.

Sama ada PH mahupun BN, keduanya berhadapan ‘ranjau’ tersendiri. Kedua-duanya akan berusaha sedaya mungkin memenangi hati pengundi.

Soal lebih atau kurang ‘ranjau’ itu belum pasti menjanji kemenangan kerana politik adalah seni serba mungkin. Sesungguhnya DUN Rantau menjadi pentas kedua-dua parti itu cuba mengatasi segala ‘ranjau’ sekali gus mencipta kemenangan.

PENULIS ialah calon Ph.D di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini