KUALA LUMPUR 14 April – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) melalui calonnya, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau merupakan manifestasi rasa muak rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pandangan tu disuarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melihat kekalahan `hatrik’ tiga kali berturut-turut PH adalah isyarat jelas rakyat, khususnya di Rantau menolak pakatan tersebut.
Naib Presiden UMNO itu malah percaya rakyat kini sedar PH tidak mampu membawa kemakmuran seperti dijanjikan, sebaliknya menambah penderitaan.
“Kita boleh tertipu sekali tetapi tidak mungkin akan ditipu berkali-kali. Kempen PH masih lagi dengan cara menabur janji akan membangunkan itu dan ini.
“Akan beri itu dan ini jika menang tetapi rakyat Malaysia tidak sebodoh apa yang PH jangkakan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO semalam mengekalkan kerusi DUN Rantau yang disandangnya sebelum ini apabila menang selesa dalam PRK DUN berkenaan dengan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga calon lain termasuk calon PH, Dr. S. Streram.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, sepanjang kempen PRK DUN Rantau, PH cuba membuat pendedahan yang kononnya memburukkan BN melalui isu Tabung Haji dan Felda, namun nampaknya tidak mengembalikan kepercayaan rakyat kepada gabungan parti itu.
“Begitulah rakyat Malaysia. Mereka ditipu dengan manifesto PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) tetapi tidak akan tertipu lagi.
“Oleh sebab itulah rakyat terus menolak kerajaan PH. Keputusan PRK DUN Rantau merupakan manifestasi dan terjemahan tahap kebencian rakyat kepada kerajaan PH,” tegas beliau. – UTUSAN ONLINE











