Rakaman audio: Armada Perak buat laporan polis - Utusan Malaysia

Rakaman audio: Armada Perak buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 18 April – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak hari ini membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat penyebaran satu rakaman audio yang tular dalam media sosial mengenai seorang individu dipercayai exco kerajaan negeri, mengkritik pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Timbalan Ketuanya, Azrul Hakimi berkata, pihaknya merasakan perbuatan individu itu adalah serius dan melampau sehingga mengancam kestabilan kerajaan negeri.

“Seharusnya exco berkenaan menghormati akan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yg telah melantik Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami dengan ini mendesak supaya pucuk pimpinan parti diwakili exco tersebut supaya mengambil tindakan tegas terhadap beliau kerana ini adalah satu sabotaj terhadap kerajaan Pakatan Harapan Perak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari hari ini mendakwa beliau tidak tahu, malah belum mendengar rakaman audio tersebut yang dikatakan umum mirip dengan suaranya.

Dalam pada itu, Azrul turut mendesak Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang sebelum ini mendakwa pernah bertemu dengan seorang exco kerajaan negeri berhubung kedudukan Menteri Besar dan perjalanan kerajaan negeri supaya tampil mendedahkan individu tersebut.

“Sekiranya benar pertemuan itu berlangsung, langkah itu jelas merupakan satu tindakan tikam belakang terhadap Menteri Besar, exco dan kerajaan negeri secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini